12.4.11

Wanita Mudah Maafkan Suami

Artikel Cinta ini telah disampaikan oleh saudari aini80 di Forum Tentang Cinta. Dalam meneliti perjalanan hidup kita sering diuji dengan pelbagai cabaran dan ini tidak terkecuali dalam menjalin dan mengukuhkan sesebuah perhubungan atau ikatan kasih sayang antara lelaki dan wanita, khususnya bagi pasangan suami isteri. Apabila pasangan melakukan kecurangan dalam suatu hubungan, ia seolah-olah menaruh tuba dalam minuman apatah lagi selepas segala kepercayaan dan harapan tinggi diletakkan kepadanya. Jika ini yang terjadi adakah seseorang itu boleh memaafkan pasangannya?
Ketua Unit, Guaman Syarie Universiti Teknologi Mara (Uitm), Prof Madya Noor Awang Hamat, berkata berdasarkan pengalaman sebagai peguam syarie tidak dinafikan dalam kebanyakan kes dirujuk, lelaki didapati lebih ramai yang curang dalam sesuatu hubungan itu berbanding wanita. Beliau berkata, begitu juga dalam memaafkan pasangan didapati wanita lebih bersifat pemaaf dan boleh menerima kesilapan yang dilakukan serta diakui pasangannya. "Wanita atau isteri ada sikap dan naluri untuk bergantung serta inginkan perlindungan daripada lelaki ataupun suami, maka sebab itulah dia mudah memaafkan pasangannya. Walaupun wanita itu ada kerjaya sendiri dan dilihat boleh berdikari, sikap ingin bergantung dan dilindungi pasangan tetap ada dan sebab itulah ada yang boleh memaafkan pasangannya.
Malah, selagi tinggi status dan kukuh kedudukan wanita itu, selagi itulah dia bergantung kepada pasangannya. "Ingin bergantung atau dilindungi pasangan itu bukanlah dari segi wang ringgit dan kasih sayang semata-mata, tetapi lebih kepada faktor luaran, termasuk tanggapan serta pandangan masyarakat dan ingin menjaga maruah. Wanita itu takut akan gelaran 'janda' kerana status berkenaan sehingga kini masih dipandang negatif dalam masyarakat," katanya. Noor Awang berkata, disebabkan faktor itulah dalam sesetengah kes walaupun suami terus berlaku curang dan mendera emosi mahupun fizikal, isteri masih boleh bersabar dan cuba mempertahankan perkahwinan itu.
Bagi wanita berkenaan, sekurang-kurangnya dirinya masih bersuami dan tidaklah masyarakat memberikan persepsi negatif terhadapnya. Bagaimanapun, beliau berkata ada juga wanita berani menerima kenyataan hidup dan boleh menempuh hidup bersendirian, tetapi ada aspek lain yang diberikan pertimbangan termasuk soal harta dan anak hasil perkahwinan dibina. Katanya, kejadian dan ciri wanita yang dijadikan Allah berbeza dengan lelaki turut menjadi faktor mengapa wanita mudah memaafkan seseorang itu.
Walaupun wanita berjiwa sensitif berbanding lelaki, mereka mempunyai sikap yang tabah dan kesabaran tinggi serta jarang membuat keputusan melulu ketika membuat pertimbangan sesuatu perkara. "Melalui pengalaman sebagai peguam syarie dan banyak membantu pasangan yang menghadapi krisis rumah tangga, saya lihat sifat peribadi dan ciri kewanitaan banyak mendominasi diri isteri dan ini dapat membantu menyelamatkan keruntuhan rumah tangga apabila berlaku kecurangan yang dilakukan suami," katanya. Beliau berkata, dalam kebanyakan kes yang membabitkan kecurangan isteri, boleh dikatakan hanya 25 hingga 30 peratus lelaki saja boleh memaafkan dan menerima pasangannya semula. Sikap ego yang begitu menebal dalam diri hampir semua lelaki menyebabkannya sukar untuk memaafkan pasangan. Lebih-lebih lagi, sifat pemaaf memang sukar diamal dan selagi seseorang itu berpendapat bahawa setiap kejahatan serta keburukan seharusnya dibalas secara setimpal.
Malah, katanya, kerana ego yang tinggi ada suami yang berlaku curang dan tahu kesilapan diri sendiri masih ingin meletakkan kesalahannya kepada isteri. Lelaki berkenaan sanggup menyatakan, isteri menjadi punca semua itu berlaku kerana tidak mampu memberi kebahagiaan kepadanya lantaran itulah beliau terpaksa beralih mencari wanita lain. Noor Awang berkata, selain itu hadis Rasulullah yang mengingatkan golongan lelaki agar jangan membiarkan isteri curang kerana boleh dianggap dayus juga menjadi bayangan dalam diri kebanyakan lelaki sehingga sukar memaafkan pasangan.
Dalam menempuh ranjau hidup berumahtangga dan membina perhubungan yang sudah retak, beliau menasihatkan pasangan supaya kembali kepada falsafah perkahwinan itu sendiri. Sebuah perkahwinan itu hakikatnya, memerlukan ketenangan dan kebahagiaan bersama.
Untuk mencapai ke arah itu, segala sifat yang keji perlulah dielakkan dan ditepis oleh setiap pasangan. "Kecurangan boleh berlaku disebabkan beberapa faktor seperti persekitaran harian di tempat kerja, kepincangan pasangan, pengaruh media dan sebagainya, tetapi ia boleh diatasi dengan keazaman masing-masing. Pasangan juga perlu mendekatkan diri dengan Allah dan dengan ada keimanan dalam diri, Insya-Allah kita dapat elakkan diri daripada perkara yang tidak elok," katanya.

No comments: